BAITULMAQDIS – Umat Islam berumur bawah 50 tahun hari ini, dihalang rejim Israel daripada memasuki Masjid al-Aqsa selain menempatkan kira-kira 3,000 anggota polis bagi mengawal kawasan berhampiran masjid berkenaan.
Tindakan itu, susulan keputusan Israel enggan buka semula alat pengesan logam dipasang di pintu masuk komples Haram al-Sharif berikutan dua anggota keselamatan rejim itu maut ditembak dalam satu serangan Jumaat lepas.
Seorang jurucakap polis Yahudi itu berkata dalam satu kenyataan media, hanya wanita dan lelaki berumur lebih 50 tahun sahaja dibenarkan memasuki kawasan masjid.
Selain itu, pihak Israel turut bertindak biadab apabila menambah jumlah tentera dan polis konon sebagai langkah meningkatkan kawalan keselamatan.
Langkah provokasi itu, dilihat bakal mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
Penduduk Palestin mendakwa tindakan Israel bertujuan untuk menguasai sepenuhnya kawasan Masjid al-Aqsa.
Para pemimpin Islam menyeru pada Jumaat diadakan solat hajat secara besar-besaran sebagai tanda protes terhadap tindakan terbaharu rejimIsrael.
Palestin serta beberapa negara Arab turut mendesak Tel Aviv membuka semula alat pengesan logam yang dipasang di pintu masuk masjid kerana ia dianggap pencabulan hak asasi manusia. – BERNAMA

