KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan beberapa panduan penggunaan elektrik sebelum orang ramai balik ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat), Kumpulan Komunikasi Korporat TNB. Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata tip itu bersifat praktikal dan bijak tenaga untuk mereka yang pulang ke kampung.
Antara lain pengguna disaran memastikan suis peralatan elektrik yang tidak digunakan ditutup dan palamnya ditanggalkan bagi mencegah pengaliran arus elektrik.
Sekiranya perlu menyalakan lampu rumah bagi mengelak kecurian, pengguna disaran mempertimbang penggunaan alat pengukur masa supaya lampu tidak terpasang selama 24 jam.
TNB juga menekankan pentingnya soket berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai berlebihan.
“Pastikan peralatan elektrik yang perlu dipasang berada dalam keadaan baik dan motor di dalam peralatan elektrik bermotor berfungsi dengan lancar,” kata Mohd Aminuddin dalam satu kenyataan.
Syarikat utiliti itu juga menyarankan supaya gulungan wayar sambungan tambahan dibuka sepenuhnya bagi mengelak ia menjadi terlalu panas sewaktu digunakan.
TNB turut menyaran pengguna elektrik menguji Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) sebaik-baiknya dilakukan sebulan sekali dengan merujuk laman web TNB di www.tnb.com.my atau di Facebook TNB Careline untuk mengetahui cara menguji PLAB. – BERNAMA