PELAKON Hollywood, Lindsay Lohan yang makin cenderung mendalami Islam dilihat menghadiri majlis berbuka puasa anjuran penyanyi Islamik, Maher Zain di London semalam (waktu tempatan).
Majlis iftar yang diadakan bersempena dengan projek One Family Global itu bertemakan Iftar at The Savoy.
Menerusi foto yang dimuat naik di laman Instagram (IG) rasmi @onefamilyglobal, Lindsay dilihat bukan hanya hadir sebagai tetamu malah dia turut berucap di hadapan tetamu lain mengenai isu perdagangan manusia.
Selain itu, Lindsay turut menceritakan pengalamannya mendalami al-Quran sepanjang Ramadan dan menerima tepukan gemuruh daripada seluruh isi dewan.


Selain Lindsay, majlis itu kelihatan sungguh meriah dengan dihadiri figura-figura Muslim terkenal di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Maher Zain turut tweet dan retweet status Twitter dan IG tetamu yang menghadiri majlis tersebut yang mana rata-ratanya menampilkan foto-foto Lindsay dalam acara itu.
Bagaimanapun penyanyi popular yang berasal dari Lubnan itu tidak memberi sebarang komen mengenai kehadiran bintang Hollywood itu. – MYNEWSHUB.CC
