KUALA TERENGGANU – Penternak lembu dan kerbau di Terengganu perlu melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sekiranya mendapati haiwan ternakan mereka dijangkiti penyakit hawar berdarah (Haemorrhagic Septicemia).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata laporan awal daripada penternak akan memudahkan jabatan itu mencegah penyakit berkenaan daripada terus merebak dan menyelamatkan haiwan yang dijangkiti bakteria itu sekiranya ia masih di peringkat awal.
“Antara perkhidmatan percuma yang diberikan JPV kepada penternak ialah suntikan vaksin dan suntikan antibiotik oleh pegawai veterinar yang bertauliah.
“Bagi kematian haiwan ternakan dalam jumlah yang banyak pula, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga menawarkan khidmat penanaman bangkai ternakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan secara percuma,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.
Penyakit itu mula dikesan pada 26 Mei lepas dan setakat ini, 340 kes kematian ternakan telah dilaporkan berlaku di tiga daerah iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang mana 284 kematian melibatkan lembu dan 56 kematian kerbau.
Muhammad Pehimi berkata sehingga kini, JPV telah memberi suntikan vaksin dan antibiotik percuma terhadap 1,872 haiwan ternakan yang berisiko di tiga daerah itu dengan kos RM65,520.
“Secara dasarnya, penyakit hawar berdarah ini masih terkawal namun kerjasama daripada penternak sangat diperlukan agar kita mampu membendung wabak ini daripada terus berlarutan.
“Apabila penternak mendapati haiwan mereka mengalami simptom seperti edema, panas dan sakit di bahagian leher, tiada selera makan, sugul, pernafasan menjadi kencang, sakit mata dan air liur keluar dengan banyak, laporan perlu terus dibuat kepada JPV untuk tindakan susulan,” katanya.
Ditanya sama ada wabak itu akan menjejaskan keperluan stok daging mentah menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, Muhammad Pehimi berkata setakat ini, pihaknya menjangka stok akan mencukupi kerana Terengganu mempunyai 10,000 ekor lembu yang boleh disembelih.
“Selain itu, kita juga mendapat bekalan kerbau serta lembu yang mencukupi dari Pahang dan Kelantan.
“Alternatif lain pula ialah daging lembu import dari Australia dan India yang sudah boleh dibeli dari pasar raya seperti Giant dan Mydin serta Habib Frozen,” katanya. – BERNAMA

