MULAI hari ini, program bual bicara ‘Wanita Hari Ini’ (WHI) bakal diserikan lagi dengan kehadiran pengacara bukan wanita untuk buat pertama kalinya.
Menariknya, pengacara lelaki yang bakal mengalas tugas berat itu bukan calang-calang orang sebaliknya seorang selebriti terkenal, Fahrin Ahmad.
Pada masa yang sama, Fahrin, 38, mengakui teruja menerima tawaran untuk mengendalikan rancangan bersiaran langsung itu.
“Apabila diajukan tawaran ini, saya turut terkejut kerana maklum tiada hos lelaki ditampilkan sebelum ini. Saya difahamkan, dulu Nazril Idrus juga pernah terbabit dalam WHI, namun beliau hanya mengendalikan segmen khas.
“Sebaik saja diberikan peluang, saya tidak berfikir panjang kerana yakin mampu menggalas amanah diberikan pihak TV3. Sudah pasti saya sendiri teruja untuk bersiaran menerusi rancangan terbabit,” katanya kepada BH Online.
Fahrin yang juga merupkan seorang pelakon, sememangnya mempuyai banyak pengalaman dalam mengendalikan aneka rancangan televisyen dan acara pentas.
Antaranya, program Sehati Berdansa dan Mencari Ramli selain pernah menjadi pengulas sukan dengan stesen RTM. – MYNEWSHUB.CC