KUALA LUMPUR – Projek pembinaan pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang tetap akan diteruskan seperti perancangan walaupun terdapat bantahan daripada penduduk sekitar dan beberapa pihak lain.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya akan meneruskan projek itu kerana ia bertujuan membekalkan ayam bersih dan halal untuk keperluan masyarakat.
“Mereka yang membantah projek ini harus bersikap terbuka dan memberi kerjasama kepada kerajaan untuk mengatasi sebarang masalah yang timbul bagi kepentingan bersama,” katanya kepada pemberita ketika mengulas bantahan penduduk berhubung pembinaan pusat penyembelihan itu.
Baru-baru ini, 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan penduduk, rumah kebajikan dan persatuan penjaja kecil membuat bantahan dan mendesak supaya projek itu dipindahkan ke kawasan lain kerana dibimbangi menimbulkan kesesakan jalan raya dan menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.
Terdahulu, Tengku Adnan merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Sesi Pengundian Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Residensi Enesta Kepong, di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata berikutan projek Rumawip Residensi Enesta kurang diminati golongan bumiputera dan masyarakat India, pihaknya akan melanjutkan tempoh permohonan itu sehingga Oktober ini untuk memberi peluang sekali lagi kepada mereka mendapatkan rumah selesa dan mampu milik.
“Maklum balas daripada pemaju dan portal Rumawip menunjukkan kurang daripada 10 peratus daripada 254 unit dimiliki bumiputera dan hanya 0.1 peratus dimiliki kaum India,” katanya.
Beliau berkata Residensi Enesta Kepong, yang unitnya berkeluasan 803 kaki persegi dan dijual pada harga RM300,000 akan memulakan fasa pembinaan pada bulan ini dan dijangka siap menjelang Mei 2020.
Katanya antara kemudahan yang disediakan dalam Rumawip adalah bertaraf kondominium yang mempunyai fasiliti lengkap seperti kolam renang, gelanggang serbaguna, tadika, surau, gimnasium dan taman permainan. – BERNAMA