PUTRAJAYA – Sistem pembelajaran prasekolah di Malaysia akan ditambah baik melalui kajian yang melibatkan pakar pendidikan awal kanak-kanak dan akan dijalankan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata, walaupun kurikulum prasekolah Kementerian Pendidikan berada pada tahap memuaskan, namun ia perlu terus ditambah baik bagi menyediakan murid yang lebih cemerlang dalam aspek akademik dan sahsiah.
“Saya bersama kepimpinan kementerian akan duduk dan berbincang dengan pakar bidang pendidikan awal kanak-kanak bagi melihat semula sistem dan waktu pembelajaran serta kokurikulum yang digunakan.
“Selain menyediakan murid untuk memasuki tahun satu, penambahbaikan itu juga akan mengambil kira keseimbangan pembelajaran, fasiliti antara prasekolah di bandar dan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut bagi meninjau proses pembelajaran dan pengajaran murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1), di sini hari ini.
Diiringi Guru Besar, Naemah Ismail, lawatan kira-kira sejam itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.
Mahdzir berkata dalam usaha menampung pertambahan murid prasekolah, kementeriannya juga akan menambah prasarana berkaitan di seluruh negara.
Beliau berkata sehingga kini terdapat 6,044 prasekolah di sekolah kebangsaan membabitkan lebih 200,000 kanak-kanak empat hingga enam tahun.
“Malah, bermula tahun ini, kita bakal mengembangkan kelas prasekolah di 50 sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara,” katanya.
Mengenai lawatan tersebut, Mahdzir berkata beliau berpuas hati dengan proses pengajaran dan pembelajaran apabila guru berjaya menyediakan jadual dan mengikut apa yang dijadualkan semasa di dalam kelas.
Prasekolah tersebut memiliki tiga kelas dengan setiap kelas mempunyai 25 murid bersama tiga guru yang turut dibantu tiga pembantu pengurusan murid. – BERNAMA

