BUAT julung kali dalam sejarah, hanya kurang dua jam, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli terpaksa menyahut cabaran seorang pemimpin bawahan yang tengah ‘bercuti’, Datuk Adam Rosly Abdullah.
Ia bukan sahaja lucu kerana pertama kali seorang pemimpin atasan parti politik kelam kabut menjawab gertakan seorang anak muda, walhal selama ini Rafizi ‘selamba’ membiarkan segala desakan daripada musuh politiknya.
Adam pada Jumaat memberi tempoh 48 jam kepada Rafizi untuk menuntut didedahkan butiran kewangan dua badan sukarela diasaskannya, INVOKE serta Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW).
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan tersebut dalam kenyataan balas berkata konon pendedahan itu dilakukannya sebagai satu usaha tanggungjawab untuk membuktikan ketelusan aliran dana digunakan sejak ia ditubuhkan.
Malangnya, ketika Rafizi menyatakan lampiran penyata pendapatan dan perbelanjaan bagi INVOKE dan NOW, banyak persoalan lain pula muncul apabila melihat angka yang dipaparkan dari segi logik congak perakaunan.
Beliau mendakwa konon sebahagian besar dana INVOKE sebanyak RM857,369 adalah hasil penganjuran majlis kutipan dana malah menggunakan simpanan sendiri termasuk Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera.
Manakala NOW ujarnya tidak mempunyai sebarang pendapatan sepanjang tahun lalu kerana ia tidak pernah menganjurkan sebarang majlis kutipan dana. Kenyataan Rafizi ini sahaja sudah cukup menjadi bahan lawak!
Sebelum itu, Adam yang sedang bercuti daripada jawatan Ketua AMK Ampang kerana sedang dibicarakan di mahkamah, menuntut Rafizi bersikap telus mendedahkan butiran kewangan dua badan yang diasaskannya itu.
Pertelingkahan kedua-dua pemimpin PKR itu tercetus ekoran Rafizi menyalahkan Adam kerana konon enggan mengisytiharkan harta kekayaan luar biasanya bahkan menonjolkan aset dimilikinya termasuk banglo mewah.
Adam yang juga pegawai khas Ahli Parlimen Ampang dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin; kini berdepan enam dakwaan iaitu memberi keterangan palsu kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Baca: Adam Beri Rafizi 48 Jam Isytihar Dana NGO Miliknya
Dalam pada itu, terdapat lima keraguan daripada pendedahan Rafizi berkaitan dana dan perbelanjaan, menurut pengamatan seorang netizen yang dikenali sebagai Tok Adi The Justice menerusi laman Facebooknya semalam:
1) 10 Mei 2015, Rafizi menyatakan dia ada simpanan RM212,000 dalam ASB dan RM464,372 di Tabung Haji. Jumlahnya adalah RM676,372. Pada 13 September 2016, Rafizi kata dia laburkan RM300,000 untuk Invoke.
Dalam kenyataan 5 Mei 2017, Rafizi kata beri sumbangan sejumlah RM787,049 untuk INVOKE guna duit Tabung Haji dan ASB. Bermakna ada tambahan lagi RM487,049 berbanding kenyataan awal pada September 2016.
Ini bermakna Rafizi telah keluarkan hampir semua wangnya dalam Tabung Haji dan ASB. Kenyataan Rafizi ini adalah andaian sahaja, sila nyatakan resit pengeluaran ASB dan Tabung Haji sebagai bukti?
2) Rafizi mengandaikan sejumlah RM857,369 berjaya dikutip menerusi pelbagai majlis kutipan dana. Jumlah ini agak besar dan tidak diperincikan dengan jelas dalam berapakah majlis dan siapakah yang menyumbang dana.
Apakah sindiket “ah long” yang pernah meminjamkan sejumlah besar duit kepada Adam Rosly untuk membeli banglo ‘Disneyland’ di Ampang, turut menyumbang dana mereka kepada Rafizi untuk operasi INVOKE?
3) Gaji kakitangan untuk 80 orang adalah berjumlah RM888,487, secara purata RM11,106 setiap orang. INVOKE beroperasi sejak Ogos 2016 dan sehingga Mei 2017 sudah masuk bulan ke-10 ia berjaya beroperasi.
RM11,106 dibahagikan 10 bulan adalah RM1,110.60 seorang. Jumlah perbelanjaan gaji ini nampak amat tidak munasabah. Siapa mahu kerja tetap gaji bawah upah minimum serendah RM1,100.60 sahaja selama 10 bulan?
4) Rafizi sebut INVOKE ada 17 pejabat, terlalu banyak jumlah itu. Aliran wang masuk ke setiap pejabat, siapa di setiap pejabat, jumlah pekerja dan berapakah sewa bulanan pejabat pun tidak diperincikan oleh Rafizi sendiri.
Katakanlah RM44,654 untuk 17 pejabat selama 10 bulam INVOKE beroperasi. Ini bermakna kos sewa satu pejabat sebulan ialah RM262 sahaja. Ini jumlah amat tidak logik. Ternyata anggaran Rafizi ini hanya serkap jarang.
5) Rafizi bukanlah seorang penjawat awam. Mengikut tafsiran Bahagian X Perlembagaan Persekutuan, Perkara 132 hingga Perkara 148. Perkara 132 (3) tidak mengkategorikan seorang ahli Dewan Rakyat sebagai penjawat awam.
Justeru kenyataan Rafizi itu jelas sekali sebagai salah dan berbohong. Kenyataan ini hanyalah anggaran rambangnya sahaja dan ia perlu disahkan oleh pihak ASB, Tabung Haji, SSM, LHDN serta pihak pihak lain.
Ini kerana, Rafizi sebelum ini sudah terbukti pernah dibicarakan ekoran memfitnah lebih daripada 10 kali di pelbagai mahkamah. Ada kemungkinan besar Rafizi membuat kenyataan karut juga tentang INVOKE.
Kesimpulannya, jika Rafizi kata dia terpaksa ambil duit ASB dan Tabung Haji, Adam Rosly pula kata ambil duit ahlong. Lebih kurang aja mereka berdua ini. Sama sama sahaja. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

