BAGAN SERAI – Kementerian Kesihatan diminta untuk menyediakan semula perkhidmatan ambulans 24 jam di Klinik Kesihatan Alor Pongsu, kata Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, di sini hari ini.
Ketika ditemui pemberita di klinik berkenaan, beliau berkata, perkara ini akan dibawa ke persidangan khas kamar kecil Parlimen apabila sidang Parlimen dimulakan pada Julai depan dan berharap ia dapat disegerakan kerana melibatkan risiko nyawa orang ramai.
Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Alor Pongsu Mat Radzi Ali, 60, pula berkata klinik kesihatan ini memberi perkhidmatan ke lebih 12 kampung di kawasan itu dan terpaksa bergantung kepada kekosongan ambulans beberapa klinik kesihatan lain yang terletak sejauh 15 hingga 30 kilometer dari sini.
Beliau berkata masalah ketiadaan ambulans merupakan isu besar yang harus dipandang serius oleh Kementerian Kesihatan, kerana ia melibatkan soal nyawa penduduk yang mungkin dapat diselamatkan sekiranya menerima rawatan kecemasan dengan segera.
“Bayangkan ambulans yang dipanggil hanya tiba 45 minit hingga satu jam selepas panggilan kecemasan dibuat dan ini membahayakan keselamatan penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri,” katanya.
Seorang penduduk, C. Ponudorey, 70, berkata ketiadaan perkhidmatan ambulans telah menimbulkan kebimbangan penduduk, khususnya pada waktu kecemasan.
Katanya, bagi penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri tentu menyulitkan kerana mereka perlu menyewa kenderaan lain untuk membawa pesakit ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan. – BERNAMA

