KEBANYAKKAN bandaraya utama di dunia, terutamanya di Eropah dan di Asia, kini rancak membina jaringan keretapi berkelajuan tinggi.
Skala kelajuan teknologinya kini melebihi 300 kilometer per jam. Malah sudah ada negara yang ingin menghubungkan bandaraya utamanya dengan jaringan keretapi berkelajuan melebihi 500km per jam.
Persaingan teknologi dan evolusi terkini dalam industri pembinaan jaringan keretapi berkelajuan tinggi ini semakin hebat. Malah industri keretapi berkelajuan tinggi ini bakal menjadi pencetus pertumbuhan ekonomi baharu di masa hadapan.
Menurut laporan The Economist, 13 Januari 2017, China sedang membina jaringan keretapi berkelajuan tinggi yang terbesar di dunia.
Jaringan ini bakal menghubungkan 3 bandaraya utama di negeri China. Pertama, bandaraya Beijing di utara. Kedua, bandaraya Shanghai yang terletak di sebelah timur dan ketiga, bandaraya Guangzhou di penghujung selatan China.
Jaringan ini bakal meningkatkan pertumbuhan ekonomi di samping mengekalkan kepadatan penduduk di bandaraya tersebut.
Ini kerana, lebih ramai orang boleh bekerja di bandaraya tersebut tanpa perlu tinggal dalam kepadatan bandar.
Strateginya, pekerja akan mendiami rumah di luar bandar. Tiada masalah pengangkutan kerana adanya jaringan keretapi berkelajuan tinggi.
Lebih menggemparkan lagi, CNB pada 25 September tahun lalu melaporkan: China turut membina keretapi berkelajuan tinggi berupaya memecut melebihi 500 km per jam. Malah China juga akan membina keretapi berkelajuan tinggi khas untuk pengangkutan kargo dengan kelajuan 250 km per jam. Kedua-dua keretapi berkelajuan tinggi ini menggunakan sistem “hybrid propulsion” dan bakal dikeluarkan untuk pasaran dunia.
Ini berita amat menakjubkan. Satu bukti menunjukkan kepantasan evolusi di bidang industri pembinaan keretapi berkelajuan tinggi.
Ternyata China ingin mengungguli industri ini di pentas dunia. Laporan CNBC juga menyebut: Syarikat pengeluar dan pembinaan keretapi berkelajuan tinggi dari China turut memiliki kontrak bagi pembinaan 3,000 kilometer laluan. Ia jumlah keseluruhan projek di Turki, Indonesia, Thailand dan Russia.
China juga memenangi bidaan di Malaysia. Malah, sedang muncul sebagai pembida popular di Amerika Syarikat dan Amerika Selatan.
Di Asia, selain China, Jepun, Korea dan Taiwan kini dikenali sebagai kuasa pembina projek mega keretapi kelajuan tinghi.
Malah, Jepun diiktiraf sebagai antara pelopor awal teknologi hebat ini.
Keretapi berkelajuan tinggi yang pertama di Jepun, atau lebih dikenali sebagai Shinkansen, mula beroperasi pada jam 10 pagi, 1 Oktober 1964. Ia menghubungkan Tokyo dan Osaka. Dilancarkan sempena Olimpik Tokyo 1964.
Di Jepun, ketepatan masa dan efisien satu perkara utama. Ini terbukti melalui pengurusan Shinkansen. Segalanya tepat dan efisien.
Merujuk laporan The Guardian, 30 September 2014, pelancaran Shinkansen pada 1964, adalah permulaan bagi kemunculan kuasa ekonomi Jepun. Shinkansen adalah simbolik terhadap usaha pembinaan semula infastruktur mega di Jepun setelah berakhirnya perang dunia kedua.
Bayangkan, Jepun sudah memiliki Shinkansen sejak 53 tahun yang lalu. Mungkin benar, ini antara sebabnya, ekonomi Jepun berada di antara kelompok tertinggi berbanding negara-negara lain di Asia.
Di Eropah pula, sejarah mencatatkan bahawa Jerman merupakan negara perintis pembinan jaringan keretapi berkelajuan tinggi.
Berdasarkan catatan Goeuro.com, dari tahun 1899 hingga 1903, Jerman melaksanakan eksperimen ke atas keretapi berkelajuan tinggi dengan kelajuan 210.2 kilometar per jam bagi jarak 72 km dari Marienfelde ke Zossen.
Hari ini, Eropah merupakan benua yang memiliki jaringan keretapi berkelajuan tinggi yang terbanyak dan yang paling popular di dunia.
Jaringan keretapi berkelajuan tinggi di Eropah ini juga berjaya menghubungkan perjalanan antara pelbagai negara dalam mada beberapa jam sahaja.
Malah ketika ini, keretapi berkelajuan tinggi menjadi pilihan utama pelancong di Eropah berbanding kapal terbang.
Ini bagi membolehkan mereka mengunjungi negara-negara lain dalam Eropah. Kosnya pula amat berpatutan.
Ternyata, pembinaan jaringan keretapi berkelajuan tinggi berupaya menjana pelbagai aktiviti ekonomi. Itulah sebabnya pembinaan jaringan keretapi berkelajuan tinggi adalah pencetus kuasa ekonomi baru di masa hadapan.
Kita rakyat Malaysia seharusnya merasa bertuah kerana negara kita juga bakal membina jaringan keretapi berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
Keretapi berkelajuan tinggi dengan kelajuan 300km per jam ini kelak hanya mengambil masa 90 minit jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura.
Pelbagai manfaat ekonomi dan sosio budaya bakal kita kecapi. Malaysia juga bakal membina jaringan keretapi berkelajuan tinggi dari Gombak ke Kota Baharu.
Tidak mustahil, ketika itu, hanya 4 jam melalui jaringan keretapi berkelajuan tinggi, kita sudah sampai di Kota Bahru.
Tiada lagi isu kesesakan untuk balik beraya ke Pantai Timur. Pastinya juga kadar kemalangan jalanraya dapat dikurangkan dengan ketara. Hebatnya Malaysia.
Terima kasih Malaysia kerana membina kemudahan yang amat bermakna untuk kemakmuran kita bersama di masa hadapan.
Semoga suatu hari nanti, ada anak muda yang mampu mencipta keretapi berkelajuan tinggi buatan Malaysia. – MYNEWSHUB.CC
#laskarmalaya
