PETALING JAYA – Penyerang utama Selangor, Francis Forkey Doe, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kereta klon jenis BMW 325i, Jumaat lalu.
Majistret Atiqah Abdul Karim, menjatuhkan hukuman itu terhadap Doe, 31, warga Liberia, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Doe didakwa mempamerkan nombor pendaftaran palsu iaitu BLK 17 pada kereta BMW 325i di tempat letak kenderaan di hadapan Restoran Alfa Maju, Jalan Puteri 1/6, Bandar Puteri, Puchong di sini, jam 4 pagi, pada 5 Mei lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BH Online