PUTRAJAYA – Kerja-kerja pemantauan, sekatan jalan raya dan pengambilan sampel bagi memastikan tidak ada lagi kes H5N1 atau selesema burung dalam kalangan unggas di Kelantan kini memasuki hari ke-49 dan akan diteruskan sehingga 90 hari, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Kesihatan Veterinar) Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.
Beliau berkata pemantauan berterusan untuk tempoh 90 hari adalah syarat manakala sampel merupakan bukti perlu dikemukakan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum Malaysia layak mengisytiharkan bebas H5N1.
“Sehingga hari ini, lebih kurang 3,000 persampelan sudah diambil, 56,000 unggas dan 17,000 telur sudah dimusnahkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada pengumuman Livestock Malaysia di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini hari ini.
Dr Quaza Nizamuddin berkata jumlah pampasan yang dibayar kepada petani yang terjejas ekoran H5N1 adalah lebih kurang RM400,000 dan dijangka dibayar dalam masa sebulan lagi.
“Kebanyakan mereka adalah petani sambilan dan hanya seorang petani komersial,” jelasnya.
Mac lepas, kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan H5N1 sebagai bencana negeri
berikutan wabak itu merebak di Bachok dan Pasir Puteh selepas Kota Bharu dan Pasir Mas.
Kes H5N1 dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu pada 6 Mac
lepas setelah beberapa ekor ayam kampung mati. – BERNAMA
