SUNGAI PETANI – Sebuah lagi premis perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak di sini, diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), petang semalam.
Ketua Cawangan KPDNKK Sungai Petani, Shaarani Miskat berkata, serbuan yang dilaksanakan pada pukul 2 petang semalam, membabitkan sebuah syarikat pengiklanan dan percetakan yang beroperasi di Taman Ria Jaya dekat sini.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat empat salinan langgaran atau cetak rompak dalam bentuk program komputer, ditemui dalam empat unit komputer di dalam premis terbabit.
“Susulan itu, empat unit komputer yang dianggarkan bernilai RM10,000 dirampas,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, seorang lelaki dipercayai pemilik perniagaan dan dua wanita, masing-masing berusia lingkungan 40-an, turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati syarikat terbabit sudah menggunakan perisian cetak rompak itu sejak dua tahun lalu dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987, kerana memiliki apa-apa kegunaan salinan langgaran selain untuk kegunaan domestik dan persendirian,” katanya.
Rabu lalu, sebuah kilang perabot yang beroperasi di Pengkalan Lebai Man dekat sini, turut diserbu KPDNKK kerana menggunakan perisian cetak rompak, selepas menerima aduan daripada wakil hak cipta perisian terbabit. – BERNAMA