KUALA LUMPUR – Tiga Exco PAS di Selangor akan terus menjalankan tugas seperti biasa selagi mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia selaras dengan Perlembagaan Negeri Selangor di mana nasib ketiga-tiga Exco terbabit hanya boleh ditentukan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Pelantikan Exco dibuat oleh Sultan Selangor atas nasihat Menteri Besar dan kita akan teruskan kecuali ada keputusan baharu yang dibuat oleh pihak lain, bukan daripada PAS.
“Pentadbiran Selangor kini tenang dan berjalan dengan baik dan perkara pentadbiran ini tidak perlu diganggu,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut senada dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa jawatan Exco itu merupakan mandat rakyat yang perlu digalas hingga pilihan raya umum akan datang.
Bahkan katanya, buat masa ini tiada sebarang makluman yang diterima yang meminta ketiga-tiga exco berkenaan meletakkan jawatan.
“Dalam pertemuan dengan ketiga-tiga exco dengan Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Selangor, kita tidak dimaklumkan terdapat sebarang arahan letak jawatan atau pecat daripada Menteri Besar.
“Secara rasminya kita tidak menerima sebarang dokumen atau surat arahan untuk berbuat demikian,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=VTeDuQQmAw8

