KUALA LUMPUR – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan mengapa tokoh dan penceramah Islam terkemuka dari India, Dr. Zakir Naik ditawarkan kerakyatan Malaysia.
Naib Presidennya, Sivamalar Genapathy mendakwa langkah itu menunjukkan sikap `double standard’ kerajaan kerana ada orang India di Malaysia masih belum mendapat taraf warganegara.
Beliau turut mempertikaikan kewajaran Dr. Zakir ditawarkan warganegara Malaysia kerana tokoh Islam itu dalam senarai orang dikehendaki di India dan dilarang memasuki beberapa negara lain.
Tegas beliau, Dr. Zakir dilarang memasuki beberapa negara lain kerana menghasut kepada keganasan dan terlibat dalam pengubahan wang haram.
“Hingga sekarang `blueprint’ (isu kerakyatan orang India di Malaysia) daripada Hindraf belum dilaksanakan, tetapi kerakyatan ditawarkan kepada pendakwah kontroversi dan televangelis Dr. Zakir,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Televangelis bermaksud seorang pendakwah agama yang kerap muncul di televisyen untuk merayu mendapatkan dana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bagaimanapun menerangkan pendakwah antarabangsa dari India itu hanya bertaraf penduduk tetap di Malaysia dan bukannya warganegara.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Dr. Zakir tidak menetap di Malaysia sebaliknya tinggal di beberapa negara lain dan status penduduk tetap diberi kepadanya sejak lima tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC
