SYUKUR… Bank Rakyat, institusi bank koperasi Islam terbesar di Malaysia, mengumumkan dividen tunai 15 peratus, berjumlah RM450 juta, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 lalu.
Ini merekodkan pertambahan dua peratus berbanding 13 peratus pada 2015. Bank tersebut mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.74 bilion berbanding RM2.01 bilion dicatatkan pada 2015.
Pengerusinya, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh berkata dividen itu diumumkan berdasarkan pengukuhan perolehan sebanyak RM6.66 bilion yang dicatatkan pada tahun lepas berbanding RM6.43 bilion yang diraih pada 2015.
“Meskipun dalam situasi yang mencabar, pendapatan bank telah meningkat, didorong oleh aktiviti pembiayaan dan perbendaharaan,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman dividen itu di ibu negara, semalam.
Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Shukry berkata, pendapatan pembiayaan sebanyak RM6.43 bilion kekal sebagai penyumbang utama.
“Peningkatan dalam pendapatan pembiayaan adalah disebabkan oleh pertumbuhan positif pembiayaan runcit, terutamanya dalam segmen pembiayaan peribadi,” katanya.
Beliau berkata baki pembiayaan kasar Bank Rakyat, tahun ke tahun, mencatatkan peningkatan sebanyak 7.32 peratus atau RM4.72 bilion kepada RM69.18 bilion yang mana pertumbuhan pendapatan peribadi menjadi penyumbang utama.
“Pembiayaan konsumer meningkat sebanyak RM4.83 bilion kepada RM64.42 bilion, berbanding RM59.58 bilion sebelumnya,” katanya.
Menurutnya, jumlah deposit naik 9.75 peratus atau RM6.92 bilion kepada RM77. 9 bilion berbanding RM70. 98 bilion dicatatkan pada 2015.
Beliau berkata jumlah aset meningkat 7.38 peratus, tahun ke tahun, kepada RM99.22 bilion berbanding RM92.40 bilion dicatatkan pada 2015 sejajar dengan industri, dipacu oleh pengeluaran pembiayaan yang agresif.
“Secara keseluruhannya, Bank Rakyat telah berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia dari segi segi aset,” kata Shukry.
Bagi 2017, katanya, Bank Rakyat menyasarkan pertumbuhan pembiayaan sebanyak 6.5 peratus dipacu oleh permintaan terhadap pembiayaan peribadi.
Sementara itu, Hamzah berkata, Bank Rakyat menyumbang dua peratus atau RM34.01 juta daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi.
“Manakala satu peratus lagi atau RM17 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi. Jumlah keseluruhan sumbangan bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM51.01 juta,” katanya.
Bank Rakyat mempunyai ahli keseluruhan berjumlah lebih kurang 950,000 dengan modal berbayar keseluruhan sebanyak RM3 bilion. – Bernama/HAA