KOTA KINABALU – Sebagai menghormati bulan Ramadan, sambutan Pesta Kaamatan atau pesta menuai di Sabah pada tahun ini menampilkan sedikit kelainan.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata acara kemuncak sambutan pesta itu pada 31 Mei, yang jatuh pada bulan umat Islam mengerjakan ibadah puasa, tidak akan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah, yang merupakan perasmi tradisi seperti pada tahun terdahulu.
Sebaliknya, Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin akan merasmikan pelancaran pembukaan sambutan pesta itu pada 1 Mei, yang lazimnya disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, katanya.
Tambahnya, daerah kecil Tambunan, kira-kira 81km dari sini, dipilih untuk menjadi tuan rumah majlis pelancaran pembukaan sambutan itu pada tahun ini.
“Kelainan ini dianggap unik sekali kerana ia satu pengiktirafan kepada masyarakat pedalaman di Tambunan dengan kedatangan Tuan Yang Terutama (Yang Dipertua Negeri) ke daerah mereka.
“Di samping itu, kehadiran Tuan Yang Terutama juga diharap dapat memeriahkan lagi program Tahun Melawat Tambunan 2017,” katanya, sambil menambah perasmi acara kemuncak pesta itu pada 31 Mei nanti di Penampang akan diputuskan kemudian.
Di samping perasmian secara tradisi oleh Yang Dipertua Negeri, isteri Yang Dipertua Negeri pula biasanya menjadi tetamu kehormat dalam menobatkan pemenang pertandingan Unduk Ngadau atau ratu cantik.
Pairin turut memberitahu 45 peserta mewakili 45 daerah kecil dan besar akan merebut gelaran Unduk Ngadau 2017, termasuk Lembah Klang dan Kiulu, yang menyertai pertandingan itu buat pertama kali.
Pesta Kaamatan disambut sebagai cuti umum di Sabah pada 30-31 Mei sejak 1960 sebagai mengiktiraf budaya tradisi masyarakat Kadazandusun Murut, yang merupakan suku kaum terbesar di negeri ini, menghormati semangat padi yang melambangkan kelangsungan makanan dan kehidupan. – BERNAMA