KUALA LUMPUR – Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur menggesa Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya bertaubat kerana menyatakan perkahwinan antara mangsa rogol di bawah umur dengan perogolnya mungkin boleh mengubati masalah sosial.
Ketuanya, Robert Lua Khang Wei berkata, kenyataan yang dibuat oleh Shabudin itu bertentangan dengan ajaran agama Islam dan Perlembagaan Negara kerana menolak nilai keadilan.
“Kenyataan Shabudin menghina seluruh wanita, semua ibu-bapa dan rakyat. Perkahwinan antara mangsa rogol bawah umur dengan perogolnya membawa masyarakat ke zaman jahiliyah.
“Penjenayah rogol tiada sebarang hak berkahwin dengan individu yang dizaliminya dan penjenayah tersebut harus menanggung denda yang dijatuh terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Penyokong Pakatan Harapan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak semalam menyebarkan luaskan kenyataan Shabudin yang tidak dipetik secara penuh mengenai isu mangsa rogol bawah umur mengahwini perogolnya bagi mengambil kesempatan memburuk-buruk UMNO di media sosial.
Shabudin dalam perbahasannya di Dewan Rakyat semalam mengulas tentang isu perkahwinan antara mangsa rogol bawah umur dengan perogol berdasarkan pengalaman beliau sebagai Hakim Mahkamah Syariah.
Dalam perbahasannya, beliau mengulas ada antara kes rogol remaja perempuan bawah umur sebenarnya melibatkan hubungan seks suka sama suka remaja perempuan itu dengan teman lelakinya.
Justeru, jika ada keizinan wali dan kebenaran Mahkamah Syariah, gadis bawah umur yang dikategorikan dirogol kerana mengadakan hubungan seks dengan teman lelaki boleh dikahwinkan kerana maslahat yang dipertimbangkan untuk kedua-dua pihak.
Maka, tidak timbul isu mangsa rogol akan berkahwin dengan orang yang ditakuti kerana Mahkamah Syariah yang menyiasat dan mempertimbangkannya sebelum kebenaran dikeluarkan sekiranya ada permintaan dan keizinan daripada wali untuk mengahwinkan kedua-dua mereka.
Malah besar kemungkinan perogol itu ialah teman lelaki yang saling menyayangi gadis tersebut dan terlanjur melakukan persetubuhan tanpa menghiraukan umur gadis itu yang belum mencapai 16 tahun.
Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP sejak beberapa tahun lalu mendesak kerajaan melarang remaja bawah usia 16 tahun termasuk yang beragama Islam berkahwin dengan mendakwa ia merupakan perbuatan manusia zaman jahiliyah. – MYNEWSHUB.CC

