PERSIDANGAN Muktamar Tahunan PAS ke-63 yang diadakan di Alor Setar, Kedah digemparkan dengan penemuan sebuah patung monyet yang digantung pada sebatang pokok di laluan menuju Kompleks PAS Pusat di sini, pada Sabtu.
Lebih mengejutkan, patung monyet yang lengkap berserban, berkaca mata dan dililitkan ‘mafla’ PAS itu seakan menyerupai penampilan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Turut kelihatan simbol seperti salib di bahu kanan pada ‘lebai monyet’ berkenaan.
Patung itu digantung antara dua bendera PKR dan Amanah di sebatang pokok di laluan utama Jalan Alor Setar-Yan, kira-kira lima kilometer dari Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu dipercayai cubaan menghina parti tersebut dengan menyamakan Abdul Hadi sebagai haiwan.
Ia rentetan kontroversi akhbar berbahasa Cina, Nyanyang Siang Pau yang menyiarkan karikatur monyet yang disifatkan sebagai menghina pemimpin PAS itu.
Bertajuk “Akta Monyet” kartun itu memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai “speaker” manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai “Hadi Awang” bertenggek di pokok “Akta 355”.
Bagaimanapun, isu berkenaan tidak berlanjutan selepas Abdul Hadi menerima dan memaafkan akhbar tersebut atas ketelanjuran menyiarkan karikatur itu. – MYNEWSHUB.CC

