SETIU – Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain pasukan Terengganu dan T-Team, jika didapati terlibat mengatur perlawanan atau mengambil rasuah.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata peringatan itu juga ditujukan kepada pengurusan yang mengendalikan kedua-dua pasukan tersebut.
“Mana-mana pemain, pengurusan atau sesiapa sahaja yang cuba melakukan perkara seumpama ini, kita akan pastikan tindakan tegas diambil sekiranya mereka terlibat,” katanya kepada pemberita.
Ahmad Razif berkata bentuk tindakan bergantung kepada perundangan yang telah ditetapkan sama ada undang-undang jenayah mahupun tindakan daripada PBSNT sendiri.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian sebagai mengulas penahanan tiga pemain pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) yang ditahan kerana terlibat mengatur perlawanan.
Mereka dikatakan menerima rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie atau dalang yang mengatur keputusan perlawanan.
Ahamd Razif berkata walaupun tidak ada dalam kalangan pemain dan pengurusan Terengganu dan T-Team terlibat, ingatan itu adalah bagi menggelakkan mereka terbabit dalam gejala tersebut. – BERNAMA