SUSULAN tindakannya yang menghina nama mendiang bapa bekas jaguh pecut negara Watson Nyambek, pengacara program Sukan Tak Sentral, Ammar Titan tampil membuat permohonan maaf menerusi laman Instagram miliknya.
Dalam permohonan maafnya, Ammar atau nama sebenarnya Azizul Ammar Abu Hassan secara rendah dirinya memohon maaf kepada ahli keluarga Watson Nyambek di atas kesalahan yang dilakukannya itu.
“Merujuk kepada program Sukan Tak Sentral yang telah diulang tayang baharu-baharu ini, dengan rendah diri saya ingin memohon maaf secara peribadi kepada keluarga saudara Watson Nyambek kerana tanpa sedar telah mempersendakan nama baik ayah beliau.
“Saya amat menghormati atlet negara tersebut atas kejayaan yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya juga amat berterima kasih dan menerima segala komen yang diberikan dan ianya akan dijadikan panduan untuk saya menjalankan tugasan saya di masa akan datang untuk menjaga sensitiviti masyarakat dan negara.
“Sekali lagi, saya memohon maaf kepada di atas kesilapan ini dan akan memastikan perkara ini tidak akan diulangi,” tulis penyampai radio Hot FM itu.
Dalam program tersebut, Ammar dikatakan telah menghina nama mendiang bapa Watson dengan menyamakan nama tersebut dengan binatang.
Sementara itu, penerbit program tersebut, Primeworks Sdn Bhd menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Izham Omar telah mengeluarkan satu kenyataan permohonan maaf berhubung perkara tersebut lewat petang semalam. – MYNEWSHUB.CC