KUALA LUMPUR – Peneraju busana patuh syariah, ELLE ZADA melancarkan Projek Raya 2017 yang diadakan cukup meriah di Grand Millennium Hotel, di sini hari ini.
Uniknya, tidak ramai tahu bahawa kejayaan ELLE ZADA dibangunkan bermula daripada dua usahawan muda yang tidak pernah mengambil pengkhususan dalam bidang perniagaan ataupun fesyen.
Bermula dari bilik tidur, ELLE ZADA sebenarnya dimajukan pada 2012 lalu oleh Elliyin Rasif dan Shahzada Khan enam bulan selepas pasangan tersebut berkahwin.

Pada masa itu, kedua-duanya masih menuntut ijazah di universiti dengan Elliyin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Shahzada pula di Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pada raya tahun lepas, ELLE ZADA menghadapi krisis pertama sejak penubuhan apabila kain ditempah lambat diterima daripada pembekal, sekali gus menyebabkan kelewatan penghasilan baju raya.
Kemelut tersebut terjadi ekoran pesanan pelanggan yang diambil melalui cara pre-oder kebetulan tidak dapat memenuhi permintaan akibat gerakan pemasaran yang cukup hebat.
Selepas terjadinya krisis ketika musim perayaan tahun lalu, ELLE ZADA kini lebih bersedia untuk berhadapan dengan musim Hari Raya baharu pada tahun ini.
Kali ini, ELLE ZADA menyambut ketibaan musim Hari Raya dengan pendekatan #ElleZadaBertaubat dan #RedyStockOnly dan tiada lagi pesanan melalui kaedah pre-oder.

Malah pada tahun ini, ELLE ZADA mengeluarkan rekaan baju dengan konsep smart-fit yang bermaksud tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar.
Ia direka agar seni jahitannya tampak kemas dan rapi tetapi masih lagi memelihara konsep kesopanan dalam pemakaian tradisional Malaysia.
ELLE ZADA juga membawa kelainan apabila bakal mengeluarkan kurta untuk lelaki dan pantsuit untuk perempuan yang direka bagi pelanggan menginginkan kelainan pada musim Raya akan datang.
“Kami ambil inspirasi dari baju tradisional dari Turki. Ramai yang suka pakai baju kurung pada raya pertama, tetapi apabila sudah masuk raya kedua atau ketiga, ramai yang suka pakaian yang lebih kasual untuk berjalan-jalan.
“Justeru kami keluarkan kurta dan pantsuit untuk memenuhi keperluan ini,” kata Elliyin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ELLE ZADA.

Untuk Projek Raya 2017, ELLE ZADA berkoloborasi dengan artis-artis Malaysia seperti Adam Corrie, Yatt Hamzah, Heliza Helmi dan adik Heliza, Hazwani.
Selebiriti tersebut dipilih kerana secara kolektifnya mereka menjadi ikutan dalam menegakkan konsep patuh syariah dalam segenap aspek hidup harian.
Heliza dan Hazwani merupakan penyanyi yang akan menyanyikan lagu raya ELLE ZADA 2017 yang ditulis oleh komposer Aiman Mikail Arasy dan ia direka sepenuhnya oleh pasukan kreatif ELLE ZADA. – MYNEWSHUB.CC
