KUALA LUMPUR – Suasana sayu menyelubungi bilik bicara mahkamah apabila seorang bapa mengalirkan air mata ketika memeluk dan mencium anak lelakinya yang dikenakan hukuman bon berkelakuan baik oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana mencuri sepasang tayar motosikal.
Lelaki itu juga kelihatan berkata sesuatu kepada anaknya Syed Hamzah Shah Syed Ali Shah, 18, selepas prosiding kes itu selesai.
Terdahulu, Syed Hamzah Shah yang tidak diwakili peguam, merayu kepada mahkamah supaya diberikan hukuman ringan dengan alasan dia menyesal dengan perbuatannya.
“Kehidupan keluarga saya susah Saya curi tayar untuk dijual sebab mahu membantu keluarga,” katanya.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Hamzah Shah selepas dia mengaku bersalah mencuri sepasang tayar motosikal bernilai RM800 milik milik seorang jururawat, Nur Fadzleena Ayob, 23.
Anak kedua dari lima beradik itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin tanpa cagaran RM3,000.
Majistret Mahyudin juga memerintahkan penganggur itu supaya tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah kerana dia boleh dikenakan hukuman asal jika dia didapati berbuat demikian.
Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di parkir motosikal Kompleks Wanita dan Kanak-kanak Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini pada 12.30 pagi, 2 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran. – BERNAMA

