SEPANG – AirAsia menjadi syarikat penerbangan rakan kongsi rasmi bagi Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) yang ke-29 dan di Sukan Para ASEAN ke-9 yang diadakan, masing-masing dari 19 hingga 31 Ogos dan 17-23 September.
Acara-acara ini secara bersama dirujuk sebagai Kuala Lumpur 2017 (KL 2017).
Ketua Pegawai Eksekutif, Aireen Omar berkata penajaan syarikat penerbangan terbabit dimulakan hari ini sehingga kedua-dua acara sukan itu berakhir.
Ia membabitkan semua penerbangan di sepanjang tempoh acara-acara sukan terbesar Asia Tenggara itu berjalan.
“(Kesemua penerbangan) adalah sebahagian daripada jadual (semasa). Tiada penerbangan sewa khas tetapi kami akan memastikan tempat duduk yang disediakan untuk acara sukan tersebut mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen antara AirAsia serta Sekretariat Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-9 (MASOC) yang merupakan penganjur KL 2017 di sini hari ini.
AirAsia telah menyertai KL 2017 sebagai Rakan Kongsi Emas. Kategori penajaan ini membabitkan nilai antara RM3 juta kepada RM7.5 juta, merangkumi wang tunai dan produk atau perkhidmatan seperti tiket penerbangan untuk kakitangan sukan serta teknikal yang terlibat dalam pelbagai acara seperti baton dan lari obor api KL 2017.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang turut hadir berkata, akan ada beberapa corak khas pada badan pesawat untuk menyerlahkan semangat sukan.
Beliau yang juga Pengerusi MASOC, berkata sasaran untuk penajaan KL 2017 kini baru mencapai 88 peratus atau RM70.5 juta daripada RM80 juta.
“Saya fikir dalam bulan berikutnya, kami akan datang menghampiri sasaran kerana ada beberapa tawaran (penajaan) yang kami masih belum memuktamadkan,” katanya. – BERNAMA

