KUALA LUMPUR – “Ada sesetengah parti politik berbangga dengan ramainya ahli walaupun mutunya rendah,” kata Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara (PAN), Suhaizan Kayat.
Menurutnya, beliau lebih cenderung melahirkan seberapa ramai pemimpin yang berkualiti berbanding meramaikan ahli melalui kaedah manipulasi seperti dilakukan parti itu.
Beliau mendakwa, parti terbabit mendaftar anak muda daripada lepasan sekolah-sekolah agama tertentu dibawah kawalan ahli parti terbabit.
“Atau daftar ahli parti daripada senarai daftar pemilih. Mereka tidak perlu tandatangan? Semua itu urusan dalaman parti tiada siapa pun pihak ketiga yang menyemaknya.
“Jika sudah tiada integriti. Apa-apa pun boleh dibuat,” katanya dalam satu kenyataan yang dipercayai merujuk kepada parti PAS.
Suhaizan dalam pada itu mendakwa sentimen agama dan bangsa seperti anti Islam, barua Cina dan pengkhianat bangsa akan digunakan oleh UMNO dan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk mengalahkan Pakatan Harapan.
Beliau membuat dakwaan itu selepas Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP menerima kecaman umat Islam Malaysia disebabkan penentangan gabungan parti pembangkang itu ke atas usaha memperkasakan Mahkamah Syariah.
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang dianggotai PAN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut mengguris perasaan umat Islam dengan membantah cadangan menghentikan seketika aktiviti perniagaan pada waktu maghrib di Kelantan.
Lebih teruk, ada pemimpin Pakatan Harapan mendesak kerajaan supaya menghalau tokoh dan penceramah Islam antarabangsa, Dr. Zakir Naik dari Malaysia kerana didakwa sebagai pengganas. -BERNAMA