KUALA LUMPUR – Malaysia masih mengekalkan opsyen terbuka mengenai perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ketika 10 penandatangan bertemu di Chile pada minggu lepas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
“Ia masih merupakan satu soalan yang terbuka, ada satu mesyuarat di Chile dalam minggu lepas dan satu lagi pada Mei depan di Vietnam.
“Kami akan terus bertukar-tukar pandangan kerana objektif utamanya adalah untuk mendapatkan akses ke dalam pasaran Amerika Syarikat,” katanya kepada pemberita semasa Forum Transformasi Global 2017 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada Malaysia masih berminat untuk meneruskan perjanjian selepas Presiden Donald Trump secara rasmi menarik Amerika Syarikat daripada perjanjian yang melibatkan 12 negara serta merangkumi 40 peratus daripada ekonomi dunia.
Pada November tahun lepas, Mustapa berkata jika TPP gagal menjadi kenyataan, Malaysia akan meneroka pilihan yang ada, termasuk perundingan perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan negara-negara lain.
Malaysia juga akan memberi tumpuan kepada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang membabitkan 10 negara ASEAN dan enam rakan perdagangan utama di rantau Asia Pasifik, termasuk China, katanya. – BERNAMA