SINGAPURA – Media Singapura memberi liputan meluas mengenai pembebasan lima tebusan rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di Filipina pada Julai tahun lepas.
Akhbar The Straits Times memuatkan satu perempat halamannya dengan gambar pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan dua daripada lima rakyat Malaysia yang diselamatkan.
Foto oleh FotoBernama, beserta berita bertajuk “Five Malaysian hostages rescued from Abu Sayyaf”, disiarkan dalam halaman Asia akhbar tersebut.
Gambar itu disiarkan bersama kapsyen “Kru Abd Rahim Summas dan Tayudin Anjut serta keluarga mereka bertemu Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman perdana menteri semalam. Mereka ditahan oleh Abu Sayyaf selama hampir setahun.”
Berita mengenai kejayaan menyelamatkan mereka mendapat perhatian Berita Harian yang menyiarkan berita itu sebagai yang pertama di halaman “Dunia” dengan tajuk utama “Tiga lagi warga Malaysia diculik Abu Sayyaf diselamatkan”.
Foto oleh News Straits Times digunakan dengan kapsyen “BERTEMU KELUARGA: Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, bertanya khabar dengan mangsa culik Abu Sayyaf, Encik Abdul Rahim Summas dan Encik Tayudin Anjut di kediaman Perdana Menteri, pagi Semalam”.
Najib pada pagi Isnin telah menemui Tayudin, 46, dan Abdul Rahim, 63, di kediaman beliau di Jalan Taman Duta di Kuala Lumpur.
Tayudin and Abdul Rahim ialah kru kapal tunda “Serudong Tiga” yang diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai tahun lepas.
Mereka diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina dalam operasi di selatan republik itu Khamis lepas dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang malam tadi.
Tiga lagi rakyat Malaysia iaitu Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, juga telah diselamatkan.
Mereka juga ialah kru kapal tunda Serudong Tiga.
Bukan sahaja media cetak, media dalam talian seperti TODAY dan Channel NewsAsia juga memberi liputan meluas mengenai pembebasan mereka.
Susulan pembebasan lima rakyat Malaysia itu, ketua tentera Filipina Eduardo Ano berkata pada Isnin bahawa Abu Sayyaf masih menahan 20 rakyat asing dan tujuh warga Filipina sebagai tebusan.
Singapura kini menyertai rondaan bersama di Selat Melaka bersama Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sebelum ini bahawa kerjasama erat itu boleh dimanfaatkan di Selat Sulu. – BERNAMA

