BACHOK – Seorang lelaki ditemui mati lemas manakala anak saudaranya yang berusia tujuh tahun hilang ketika mandi di Pantai Kemayan di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang itu Mohd Shamsure Mat, 37, yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu ditemui lemas oleh orang ramai pada 5.25 petang, manakala Wan Nurul Huda Wan Mohd Long masih belum ditemui.

Beliau berkata tiga anak Mohd Shamsure iaitu Nur Shahira, 11, Nurshafiqha, 9, dan Mohamad Adam Daniel, 7, turut mandi di pantai berkenaan dan hampir lemas namun berjaya diselamatkan bapanya.
“Mangsa bagaimanapun lemas akibat dibawa arus deras ombak ketika sedang berusaha menyelamatkan Wan Nurul Huda,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, petang tadi.
Beliau berkata mayat Mohd Shamsure dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu untuk bedah siasat.
Katanya operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada 7 malam ini, dan akan disambung semula pada 8 pagi esok. – BERNAMA

