KUALA LUMPUR – Cadangan pembinaan empangan di Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir di Kelantan kini di peringkat kajian reka bentuk, kejuruteraan dan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA)yang akan selesai tahun depan.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata berdasarkan kajian awal oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), dianggarkan kawasan seluas 5,804 hektar bakal ditenggelamkan bagi empangan Sungai Nenggiri manakala di Sungai Lebir akan membabitkan kawasan seluas 5,400 hektar.
“Selain itu, kerajaan masih mengkaji cadangan untuk menjadikan empangan Sungai Lebir pelbagai fungsi iaitu sebagai projek tebatan banjir, bekalan air untuk pertanian dan penjanaan tenaga elektrik,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) mengenai laporan terkini dua projek empangan itu pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk yang ingin tahu sama ada kementerian mendapatkan pandangan orang awam dan badan bukan kerajaan mengenai pembinaan dua empangan itu, Ongkili berkata berdasarkan kajian penerimaan penduduk tempatan dan sosial impak, terdapat 1,000 penduduk Orang Asli berkemungkinan dipindahkan jika kedua-dua projek itu dilaksanakan.
“Maka dalam perkara ini, perbincangan berterusan termasuk mengambil pandangan awam, NGO serta kos keseluruhan projek masih dalam tahap penelitian.
“Misalnya empangan Sungai Nenggiri kos begitu tinggi sekadar untuk 300 megawatt (MW) yang bakal beroperasi pada 2024 dan bagi empangan Sungai Lebir ialah 274 MW yang bakal beroperasi 2028,” katanya. – BERNAMA

