KUALA LUMPUR – Warga Wilayah Persekutuan kini boleh menikmati diskaun pembelian barangan dan perkhidmatan sehingga 70 peratus di lebih 400 cawangan kedai terpilih dengan pelancaran Kad Ceria Wilayah Persekutuan hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kad itu akan diedarkan secara berperingkat mulai hari ini kepada penduduk di ibu negara, Putrajaya dan Labuan khususnya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam.
Menurutnya sebanyak satu juta kad akan diberikan secara percuma untuk membantu mengurangkan beban perbelanjaan pengguna.
“Sebanyak 220 syarikat melibatkan 440 cawangan yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan di Wilayah Persekutuan bekerjasama dengan kementerian untuk menawarkan diskaun secara terus kepada pemegang kad,” katanya selepas melancarkan Kad Ceria Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata antara rakan dagang yang terlibat adalah 7-Eleven, Berjaya Hotels and Resorts, Berjaya University College of Hospitality, Borders, Kenny Rogers, KK Supermart & Superstores, KLCC Food Truck, Menara Kuala Lumpur, Mydin, Pusat Pakaian Hari-Hari, Radioshack, Rasa Utara, Singer dan Wendy’s.
Diskaun turut diberikan untuk penggunaan fasiliti yang dimiliki Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Labuan, kata Tengku Adnan.
Beliau berkata kementerian juga akan menawarkan diskaun sebanyak lima hingga 20 peratus untuk memperbaharui lesen premis perniagaan dan 50 peratus diskaun untuk memperbaharui lesen penjaja kepada syarikat yang menjadi rakan dagang Kad Ceria Wilayah Persekutuan.
“Kami juga akan memberi diskaun cukai pintu premis perniagaan sehingga 15 peratus kepada syarikat yang akan bekerjasama dalam program itu,” katanya. – BERNAMA