KUALA LUMPUR – “Firman Allah S.W.T kamu mestilah menegakkan agama dan jangan sekali-kali kamu berpecah padanya,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.
Beliau menujukan ayat itu kepada Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang mencabar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berdebat berhubung Akta 355.
Kata beliau, tiada kewajaran untuk Presiden PAS berdebat dengan Mufti Perlis berhubung perkara membabitkan hukum Islam tersebut.
“Sebaliknya apa yang wajar dan perlu ialah dianjurkan muzakarah yang melibatkan semua mufti bersama Presiden PAS memandangkan isu ini sangat penting.
“Para mufti selayaknya mengangkat satu keputusan yang muktamad dari muzakarah itu ke arah meninggikan syariat Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Asri antara individu yang menentang hebat cadangan PAS untuk meminda Akta 355 bagi mempertingkatkan hukuman ke atas pesalah syariah termasuk minum arak dan berzina.
Cadangan PAS itu turut ditentang Pakatan Harapan yang dibarisi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) yang merupakan sekutu Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mohd. Asri antara lain berhujah Islam melarang menangkap dan menghukum mereka yang berzina sekiranya zina itu dilakukan secara sembunyi atau di dalam rumah yang berkunci.
Berikutan itu, Mufti Perlis berkenaan mencabar Abdul Hadi untuk berdebat dengannya mengenai cadangan PAS untuk meminda akta tersebut.
Nasrudin berharap, muzakarah itu dapat menyelaraskan kefahaman dan keputusan serta tindakan dari pihak mufti-mufti di Malaysia berhubung pindaan ke atas Akta 355. – MYNEWSHUB.CC