KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat diberitahu, firma pembangunan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika ini tiada sebarang hutang bank atau hutang jangka pendek.
Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis diedarkan hari ini, turut menjelaskan menerusi Pelan Rasionalisasi 1MDB yang sedang dilaksanakan, tiada sebarang aset baharu dalam dan luar negara diperoleh pada 2015 dan 2016.
“Melalui penjualan aset syarikat Edra Global Energy Bhd., penjualan sebahagian ekuiti syarikat Bandar Malaysia Sdn. Bhd. dan penjualan plot tanah di projek Tun Razak Exchange, 1MDB memperoleh semula tunai.
“Ia melibatkan sebanyak RM10.97 bilion dicatatkan pada sepanjang 2015 dan 2016,” menurut kementerian tersebut.
Er Teck Hwa (DAP-Bakri) meminta Menteri Kewangan menyatakan berapakah jumlah pekerja, wang tunai, hutang dan aset yang diperoleh 1MDB sama ada di dalam dan luar negara pada 2015 dan 2016.
Kementerian Kewangan turut menjelaskan bahawa selaras dengan pelaksanaan Pelan Rasionalisasi, 1MDB mempunyai 35 pekerja pada 31 Disember 2015 dan kemudian cuma 17 pekerja pada 31 Disember 2016.
Turut dijelaskan, pada 2015 dan 2016, 1MDB sudah membayar balik sepenuhnya hutang iaitu hutang kemudahan kredit berputar dari Affin Bank sebanyak RM229.5 juta yang dijelaskan sepenuhnya pada 23 November 2015.
Hutang lain yang sudah dibayar sepenuhnya ialah kemudahan kredit tersedia dari kerajaan Malaysia sebanyak RM950 juta dan ia sebenarnya telah dijelaskan sepenuhnya pada 31 Mac 2016 lalu.
Juga kemudahan pinjaman berjangka dari Marstan Investments NV (RM2 bilion – 8 April 2016), kemudahan pembiayaan berjangka dari EXIM Bank (AS$150 juta – 15 April 2016). – Agensi/Mynewshub.cc/HAA