WASHINGTON DC – Presiden Donald Trump mendedahkan beliau berdoa untuk Arnold Schwarzenegger susulan rating rancangan televisyen ‘Celebrity Apprentice‘ yang dikatakan ‘sangat teruk’ sejak bekas Gabenor California itu mengambil alih sebagai pengacara.
Trump mengimbas kembali zamannya sebagai pengacara program realiti itu pada acara ‘National Prayer Breakfast’ di sini pada Khamis.
“Apabila saya bertanding untuk jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), saya terpaksa meninggalkan rancangan itu,” katanya di hadapan lebih 2,000 penonton.
“Mereka mengupah bintang filem terkenal, Arnold Schwarzenegger untuk mengambil alih saya. Dan kita dah tahu apa yang jadi. Rating rancangan menjunam.
“Saya hanya ingin berdoa untuk Schwarzenegger, jika boleh,” katanya.
Sementara itu, Schwarzenegger cepat bertindak balas terhadap sendaan Trump tersebut.
Bintang filem ‘Terminator’ itu mencadangkan mereka bertukar kerja menerusi video yang dimuat naik ke akaun Twitternya.
“Anda mengambil alih rancangan TV kerana sangat pakar dalam rating rancangan. Dan saya mengambil alih tugas anda dan orang ramai boleh tidur nenyak sekali lagi. Hmm?”
Sehingga ini, purata jumlah penonton adalah 4.7 juta berbanding 7.6 juta pada musim terakhir Trump sebagai pengacara pada 2015.
Trump juga masih disenaraikan sebagai penerbit eksekutif Celebrity Apprentice dan mengekalkan kepentingan kewangan dalam rancangan terbitan stesen NBC itu; sekali gus mempunyai insentif untuk mendapat rating tinggi. – AP/myMetro Online