MELAKA – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mahu mencontohi Taiwan dalam usaha meningkatkan jumlah usahawan Bumiputera yang berjaya di negara ini.
Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, kaedah yang digunakan negara itu menyebabkan 99 peratus usahawannya telah berjaya.
“Kaedah ini terutama dalam membangunkan perusahaan kecil dan sederhana boleh dijadikan contoh dalam usaha kita meluluskan pinjaman kepada usahawan.
“Kita berharap akan selesai mengkaji kaedah itu April depan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Ali berkata sehingga kini PUNB telah mengeluarkan pinjaman RM2.5 bilion membabitkan 8,745 usahawan sejak 1991 dan daripada jumlah itu, 125 usahawan dalam bidang perubatan dengan pinjaman bernilai RM25.5 juta. – BERNAMA