CHICAGO – Majalah antarabangsa terkenal Playboy yang berpusat di sini mengumumkan untuk kembali menampilkan foto-foto wanita berbogel dalam edisi keluaran terbaharu mulai Mac ini.
Hasrat murni itu sekali gus membatalkan langkah pernah diputuskan tahun lalu selain disambut dengan penuh kegembiraan oleh ramai pembaca khasnya golongan lelaki yang ‘dahaga’ sajian gambar erotik pegun.
Lucunya, jika tahun lalu penerbit majalah itu mendakwa terpaksa menghentikan penyiaran foto model bertelajang seksi dengan alasan konon dunia internet telah menjadikan gambar wanita telanjang sebagai satu perkara biasa.
Bagaimanapun menurut peneraju majalah yang sudah berusia 63 tersebut, Cooper Hefner, dan juga anak kepada pengasas Playboy; keputusan dibuat nekad pada tahun lalu itu sepenuhnya “merupakan satu kesalahan”.
“Hari ini kami mengambil kembali identiti terkenal kami dan meneruskan legasi warisan jati diri kami sendiri,” kicau Hefner menerusi akaun Twitter beliau pada hari ini yang dipetik stesen penyiaran antarabangsa BBC.
Foto-foto telanjang itu bakal ditampilkan semula menerusi edisi terkini Mac-April bersama-sama dengan tag #NakedIsNormal iaitu bogel itu biasa dan memaparkan model kelahiran Dallas, Texas iaitu Elizabeth Elam.
Sejumlah pengguna media sosial dari seluruh dunia yang tentunya golongan lelaki, dilaporkan menyambut baik langkah berani Playboy dengan menyifatkan usaha penerbitan kembali foto bogel itu sebagai “keputusan baik”.

Namun, ada pula yang menganggap keputusan aneh itu terpaksa diambil ekoran “penjualan majalah itu tidak terlalu baik” tetapi malangnya, foto porno ujar mereka lagi, masih mudah diakses oleh pengguna secara percuma.
Hefner dalam pada itu mengakui bahawa majalah yang menampilkan imej bogel boleh dianggap sebagai sudah lapuk tetapi menegaskan: “Ketelanjangan tidak pernah menjadi masalah kerana ketelanjangan bukanlah masalah.”
Berita baiknya menerusi edisi terbaharu, majalah sensasi itu akan memadamkan slogan “Hiburan bagi Lelaki” yang lazim dipaparkan dalam edisi cetak sekali gus menjadikan Playboy juga sesuai dibaca oleh golongan wanita.
“Playboy akan selalu diingati apabila menjadi jenama gaya hidup yang berfokus kepada minat lelaki, tetapi selagi keterbukaan gender berkembang subur dalam masyarakat, kami juga mesti bertindak sebegitu,” kata Hefner.
Playboy, yang mulai terbit pada Disember 1953 lalu, mula berhenti menampilkan foto-foto bogel pada edisi Mac 2016. Ini menyaksikan jualannya jatuh kepada hanya kira-kira 673,473 naskhah setiap keluaran tahun lalu.
Ketika zaman kegemilangan pada dekad 1970-an, Playboy pernah dijual sehingga lima juta naskhah setiap keluaran di seluruh dunia, malah ada mencecah rekod tertinggi sebanyak 7.2 juta naskhah untuk edisi November 1972.
Pada tahun lalu, penerbit Playboy menyatakan bahawa dunia internet telah menjadikan ketelanjangan menjadi ‘usang’ dan perniagaan majalah pornografi bukan lagi menguntungkan mereka seperti keadaan zaman dahulu.
Playboy diharamkan di banyak negara antaranya China (kecuali Hong Kong dan Macau), Myanmar, Malaysia, Thailand, Singapura dan Brunei selain di negara Islam kecuali Lubnan dan Turki. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA