PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini secara rasminya mengesahkan lelaki Korea Utara yang mati di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada Isnin ialah Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.
Nama dengan pemilik pasport menggunakan nama Kim Chol. Identiti itu disahkan berdasarkan pada pasport itu, yang menurutnya adalah tulen.
Beliau berkata Jong-nam menggunakan dua identiti berbeza yang mungkin merupakan pasport bagi tujuan penyamaran, dan dokumen itu adalah tulen.
“Identiti beliau disahkan daripada pasport yang kami bandingkan dengan dokumen dikeluarkan oleh Kedutaan Korea Utara dan menerusi identiti yang dikeluarkan kedutaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan dialog meja bulat dengan pemimpin-pemimpin industri mengenai pekerja asing, di sini.
Ditanya sama ada polis telah mengenal pasti lelaki Korea Utara itu menerusi DNA lelaki itu, Ahmad Zahid berkata pihak berkuasa hospital dan polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu kerana ia merupakan soal pengurusan.
Beliau berkata kerajaan akan memberi kerjasama terhadap sebarang permintaan daripada pihak Korea Utara untuk menuntut mayat, mengikut prosedur operasi standard,
Mayat akan diserahkan kepada waris atau kedutaan selepas semua prosedur polis dan perubatan selesai, katanya.
“Setakat ini, (tiada) sebarang permohonan rasmi (daripada waris) tetapi mereka (keluarga) mungkin menyalurkan permohonan mereka kepada pihak kedutaan Korea Utara,” katanya.
Ditanya jika mayat itu akan diserahkan selepas autopsi dijalankan, Ahmad Zahid berkata: “Ya, kita perlu patuhi prosedur perubatan, terutamanya bahagian forensik.”
Ditanya sama ada kematian Jong-nam dikategorikan sebagai mati mengejut atau dibunuh, beliau berkata ia merupakan perkara operasi dan polis akan memberikan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.
Kepada soalan lain, Ahmad Zahid berkata kematian itu tidak menjejaskan hubungan dua hala antara Korea Utara dan Malaysia.
Beliau berkata kerajaan akan meneruskan dan memperkukuh hubungan diplomatik dengan mana-mana negara yang mempunyai pejabat kedutaan mereka di Malaysia.
“Kita akui bahawa hubungan diplomatik akan diperkukuh dan kita akan memberikan kerjasama sekiranya mereka menghadapi sebarang masalah berkaitan keselamatan mereka di negara kita,” katanya.
Ahmad Zahid berkata insiden itu merupakan kes terpencil yang boleh berlaku di mana-mana negara.
Beliau berkata tiada pegawai Pyongyang yang menghubunginya secara langsung atau memohon bantuannya, tetapi beliau sedia maklum yang mereka berhubungan dengan Wisma Putra.
Mengenai spekulasi bahawa Korea Utara memainkan peranan dalam kematian Jong-nam, Ahmad Zahid berkata ia hanya spekulasi semata-mata.
Timbalan perdana menteri turut memberi jaminan akan keselamatan di semua lapangan terbang Malaysia termasuk klia2, menyatakan kawalan keselamatan adalah pada tahap tertinggi dan kematian itu merupakan kes terpencil.
“Kita mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi, kehadiran (pihak berkuasa) dan sistem keselamatan,” katanya.