KUALA LUMPUR – Lebih banyak stadium dan gelanggang sukan di bawah pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bakal dijenama semula menerusi kerjasama dengan syarikat korporat.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman berkata, ini merupakan satu daripada usaha pengkomersialan oleh pihaknya, selaras dengan transformasi Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil sebagai Bandar Sukan Kuala Lumpur menjelang akhir 2020.
PSM juga menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak yang berminat dalam kerjasama itu, selepas pengumuman menukar nama Stadium Putra kepada Axiata Arena menerusi perjanjian 10 tahun bernilai RM55 juta bersama Axiata Group Bhd. pada 16 Januari lalu, katanya.
“Ramai yang berminat untuk mengetahui maklumat mengenai naming rights. Bagaimanapun kita juga perlu berpilih untuk menjaga nilai stadium kita.
“Selain itu, kita juga perlu melihat (kemampuan stadium untuk beri) pulangan balik kepada penaja atau pelabur, untuk mewujudkan senario menang-menang kerana mahu bekerjasama untuk jangka masa yang panjang,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Buat masa ini, sebanyak 11 stadium berada di bawah pengurusan PSM, termasuk Axiata Arena, Stadium Nasional, Stadium Hoki Nasional, Pusat Akuatik Nasional dan Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil.
PSM turut menguruskan Stadium Hoki Tun Razak, Kompleks Tenis dan Pusat Skuasy di Jalan Duta, Stadium Bukit Juara di Bukit Juara serta Kompleks Sukan Panasonic di Shah Alam, Selangor, selain bakal menerima dua venue yang sedang dibina untuk Sukan SEA 2017, iaitu Velodrome Nasional dan trek BMX di Nilai, Negeri Sembilan.
Azman berkata PSM dibantu oleh syarikat pemasaran sukan antarabangsa Total Sports Asia, bakal mencapai satu lagi perjanjian dengan sebuah syarikat swasta untuk menjenamakan satu lagi venue di kawasan Bukit Jalil.
“Jika segala-galanya berjalan dengan baik, kami akan umumkan pada bulan depan. Manakala bagi venue-venue yang ada nama khas seperti Stadium Hoki Tun Razak dan Stadium Nasional, kita sedang fikir pendekatan berlainan,” katanya sambil menyatakan tempoh perjanjian sedemikian biasanya dibuat untuk lima hingga 10 tahun.
Sementara itu, mengulas mengenai fasa kedua projek Bandar Sukan KL, Azman berkata PSM dan juga pihak pemaju, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) sedang meneliti usaha-usaha untuk melakukan transformasi pembangunan infrastruktur sukan yang lebih komersial.
“Ketika bina kompleks sukan ini dulu, kita hanya fokus kepada pembangunan infrastruktur sahaja, tetapi pada masa ini sangat penting untuk menambah elemen komersial untuk menggelakkan wujudnya projek-projek ‘gajah putih’ pada masa akan datang.
“Kita mahu orang ramai kunjungi Bandar Sukan KL ini walaupun tiada acara sukan, contohnya untuk aktiviti-aktiviti seperti jogging, berkelah, membeli-belah, meluangkan masa bersama keluarga dan sebagainya.
“Ia juga penting untuk menjana pendapatan sendiri supaya tidak lagi bergantung kepada bantuan kewangan daripada kerajaan untuk kerja-kerja menjaga dan penyelenggaraan stadium,” katanya.
Fasa kedua Bandar Sukan KL bernilai RM1.1 bilion, akan bermula pada awal 2018 selepas Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN, dan dijangka siap pada akhir 2020, untuk mewujudkan hab sukan bersepadu yang terdiri daripada infrastruktur bertaraf dunia.
Ia termasuk kemudahan latihan sukan elit, pusat pemulihan sains sukan, taman belia, kemudahan sukan awam, muzium sukan, hotel belia, pusat konvensyen dan pusat beli-belah berfokuskan sukan. – BERNAMA

