LENGGONG – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak diminta menjalankan kajian bagi menyelesaikan masalah banjir yang melanda di beberapa kawasan di negeri ini untuk tempoh jangka masa panjang.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata ini kerana ketika ini iklim, pemanasan global dan taburan hujan telah berubah.
“Biasanya bulan Disember hujan dan ada bulan yang tidak ada hujan. Keadaan tersebut menyebabkan berlakunya hujan yang luar biasa dan menyebabkan berlakunya banjir kilat.
“Banjir kilat berlaku kerana kawasan lembahan sungai diteroka dan air hujan tidak dapat diserap ke bumi dan (air hujan) masuk ke sungai. Air sungai kemudian melimpah kerana tidak dapat menampung air yang banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Parlimen Lenggong dan mendengar taklimat tentang projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lenggong di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hamim berkata kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM250 juta kepada JPS bagi melaksanakan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Perak dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi menangani masalah banjir di negeri ini.
Katanya projek tersebut membabitkan living river (pengukuhan tebing dan pengindahan), RTB dan projek Saliran Mesra Alam (SMA) di Kuala Kangsar.
“Projek SMA Kuala Kangsar membabitkan RM30 juta, RTB Sungai Siput (RM16.9 juta), RTB Kampung Gajah (RM50 juta), RTB Teluk Intan RM60 juta manakala RM20 juta untuk Projek RTB Lenggong,” katanya. – BERNAMA

