SELAMA 18 tahun berkecimpung dalam arena hiburan tanah air, pelbagai pahit getir dilalui anak kelahiran Kuching, Sarawak ini; Dayang Nurfaizah.
Baru-baru ini, Dayang yang berjaya merangkul trofi Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) dan vokal terbaik menerusi lagu Lelaki Teragung menyatakan hasrat mengadakan sesi jelajah seluruh tanah air bagi bertemu peminatnya.
Namun kelainan sesi jelajah yang bakal diadakan oleh Dayang kali ini adalah dia ingin berjumpa dengan peminat-peminatnya yang tinggal di luar bandar sebagai tanda terima kasih atas sokongan padu yang diberikan.

“Oleh itu saya tak sabar nak sertai acara jelajah ke seluruh negara dalam masa terdekat bagi menemui peminat.
“Saya nak temui peminat di luar Kuala Lumpur… pergi ke kawasan luar bandar dan hiburkan mereka,” katanya kepada mStar Online baru-baru ini.
Pun begitu, menurut Dayang, sesi jelajah itu hanya akan berlangsung selepas dia melancarkan album terbaharunya dalam masa terdekat ini.
“Selepas album baharu saya dilancarkan, Indigital telah merancang projek berkenaan.
“Saya akan turun ke seluruh negara bagi mempromosikan album itu,” jelasnya.
Difahamkan album baharu itu bakal memuatkan 10 buah lagu termasuklah tiga single popularnya iaitu Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung.
Dalam pada itu, perancangan jangka panjang Dayang pula, dia menyatakan keinginan untuk mengadakan konsert solo yang disifatkan sebagai buah tangan untuk peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: mStar online