BENTONG – Isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyertai program mempromosi kelestarian alam yang menyaksikan pokok buah-buahan ditanam bersempena Retreat Kepimpinan (Rekep) Perdana Bakti 2017 di sini.
Inisiatif yang dikenali sebagai Program Rekreasi Fajar dan Kelestarian Alam itu berlangsung di sekitar Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU) di Janda Baik.
Pada acara itu, Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti atau Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri, menanam sebatang anak pokok durian ‘Musang King’.
Rekep Perdana Bakti itu disertai kira-kira 50 anggota Bakti dan 300 pemimpin mahasiswa daripada 20 universiti awam.
Penyertaan pemimpin mahasiswa adalah bagi membentuk generasi masa hadapan yang lebih menghargai alam sekitar di samping mengeratkan silaturahim antara anggota Bakti dan mahasiswa.
Selain durian, pokok lain yang ditanam ialah limau kasturi, rambutan, longan, manggis, kelapa pandan, dokong dan durian belanda.
Rekep Perdana bakti selama tiga hari itu berakhir hari ini. – BERNAMA

