JOHOR BAHRU – Lima termasuk pesakit kanak-kanak berusia empat tahun cedera selepas ambulans dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di lampu isyarat Jalan Persiaran Seri Alam, di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abd Aziz berkata kemalangan berlaku ketika ambulans dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail selepas mengambil pesakit yang mengalami demam sawan di Tasek 64, Seri Alam.
Ketika tiba di simpang empat lampu isyarat berkenaan, ambulans itu diberi laluan oleh kenderaan dari semua arah, namun apabila ambulans tersebut hampir melepasi simpang sebuah MPV dari arah kiri simpang meneruskan perjalanan dan melanggar bahagian kiri ambulans.
“Akibat pelanggaran tersebut, ambulans telah terbalik dan menggelongsor di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Katanya kemalangan menyebabkan pemandu, penolong pegawai perubatan serta ibu pesakit cedera ringan manakala pesakit dan pembantu perubatan cedera, masing-masing pada tangan dan kaki.
Lelaki berusi 21 tahun yang memandu MPV itu tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BERNAMA

