“SAYA berjanji tidak akan mengulanginya lagi dan meminta semua orang tidak mengambil kesempatan di atas kekurangan saya.”
Demikian luahan Muhammad Zul Apiz Baharom, 29, atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Tere’ yang terkilan dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi kekurangannya untuk agenda politik.
Dia yang turut dikenali dengan karekter lurus bendul ditahan pada Rabu lalu selepas didakwa menghina Institusi Diraja Johor, melalui penyebaran video di media sosial minggu lalu.
Menurutnya, pengalaman ditahan dan tinggal dalam penjara juga cukup menginsafkannya dan dia berjanji tidak akan melakukan perkara seumpama itu lagi jika di suruh oleh pihak tertentu.
“Saya tak kenal dengan orang yang suruh saya buat video tu. Cuma saya tahu dia ada dua orang.
“Saya harap lepas ini ‘ore’ (orang) tidak ambil kesempatan pada saya lagi. Cukuplah, saya tak mahu buat macam tu lagi,” katanya memetik Sinar Harian.
Ibu saudaranya, Che Puan Che Harun, 70, berkata dia terkilan terhadap pihak yang cuba mempergunakan Mat Tere meskipun tahu keadaannya yang tidak normal.
“Mat Tere tinggal bersama bapa saudaranya Aziz Taib, 63, sejak kematian ibunya, Tinah Taib, 62, akibat kencing manis pada tahun 2005 manakala bapanya Baharom Osman, 65, yang berasal dari Pulai Chondong sudah lama menghilangkan diri.
“Sebab itu, saya terkilan masih ada yang cuba mengambil kesempatan terhadap Mat Tere kerana saya tahu hidupnya agak susah jika dibandingkan dengan orang lain ditambah dengan keadaannya yang kurang sihat,” katanya.
Kaitan: Tunku Mahkota Johor Minta Mat Tere Dibebaskan
Dalam pada itu, Mat Tere difahamkan berasa teruja dapat berjumpa dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan berpeluang untuk bersalaman serta makan bersama di istana di Johor Bahru.

“Saya dilayan dengan baik oleh TMJ, meskipun saya mengeluarkan kata kurang manis kepadanya.
“TMJ juga memberikan RM5,000 kepada saya dan keluarga…semua jasa TMJ tidak akan saya lupakan, terima kasih TMJ,” katanya.
Difahamkan, Mat Tere dihantar pulang dalam sebuah kenderaan yang dipandu oleh pemandu Istana Johor. – MYNEWSHUB.CC

