PELAKON Ika Nabella mendapat berita duka apabila kandungannya yang sudah mencecah dua bulan disahkan gugur tiga hari lalu.
Meskipun pahit menerima kenyataan itu, Ika bagaimanapun reda dengan ketentuan takdir Tuhan dan percaya ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Menurut Ika, keguguran itu berlaku mungkin disebabkan kerana dia sibuk menjalani penggambaran drama.
“Kandungan itu masih lagi pada peringkat awal. Mungkin dek kesibukan saya menjalani penggambaran, ia menyebabkan saya keguguran.
“Pada mulanya saya tidak tahu diri sedang mengandung, lalu saya menerima tawaran berlakon drama Seharum Mawar, di bawah produksi JS Picture.
“Selepas beberapa minggu, baru saya mendapat tahu saya sedang hamil. Saya pula tidak boleh membatalkan projek lakonan itu kerana penggambaran sudah pun dijalankan,” katanya ketika dihubungi BH Online pagi tadi.
Dalam pada itu, Ika tetap percaya rezekinya untuk menimang anak akan tiba suatu hari nanti.
“Siapa yang tidak sedih apabila keguguran kandungan anak pertama? Bagaimanapun saya cuba bersikap positif.
“Orang pun kata selepas keguguran, biasanya potensi untuk mengandung lagi juga tinggi. Insya-Allah, mana tahu ada rezeki untuk hamil lagi selepas ini,” katanya.
Bekas bintang program realiti Akademi Fantasia musim keenam ini kini sedang menjalani tempoh berpantang selama dua minggu.
Ika mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Zaid Aznam, 30, pada 30 Julai tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC