KUALA LUMPUR – Peserta aktiviti berbasikal perlu diwajibkan memakai topi keledar dan memasang lampu di basikal bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Kerajaan persekutuan dan negeri juga perlu membina kawasan khas dan menganjurkan lebih banyak pertandingan untuk peminat aktiviti berbasikal.
Ini merupakan antara cadangan yang dilontarkan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye susulan nahas yang meragut nyawa lapan remaja lelaki berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada 18 Februari lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Lee berkata papan tanda yang sesuai perlu dipasang di jalan raya yang mempunyai laluan khas untuk basikal selain mewujudkan sempadan keselamatan untuk zon berbasikal.
Menurutnya, garis panduan dan bantuan perlu diberi kepada penunggang muda supaya mereka dapat melakukan aktiviti itu dengan selamat.
Bagi memastikan pemandu lebih prihatin terhadap penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki, peraturan yang dikenali sebagai hierarki keselamatan jalan raya perlu dikuatkuasakan supaya kumpulan paling berisiko dilindungi.
“Kita tidak sepatutnya menghalang remaja daripada berbasikal kerana ia merupakan aktiviti riadah yang sihat dan mampu menjauhkan mereka daripada penyakit sosial seperti penagihan dadah.
“Bagaimanapun, aktiviti berbasikal mereka perlulah tertakluk kepada pengawasan rapi serta mematuhi syarat-syarat keselamatan,” kata Lee.
Beliau berharap polis dan pihak berkuasa tempatan memantau kawasan yang menjadi tumpuan penunggang basikal muda dan menahan mereka yang berada di situ pada lewat malam. – BERNAMA

