GEORGE TOWN – Seramai 55 warga asing termasuk sembilan wanita ditahan kerana pelbagai kesalahan dalam Ops Ikrar Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIPP) semalam.
Jurucakap JIPP berkata operasi itu dijalankan di sekitar Relau di sini dan Butterworth dekat sini bermula 10 pagi.
“Dalam operasi di rumah kongsi sebuah tapak pembinaan di Relau, 49 warga asing diperiksa sebelum JIPP menahan 48 orang kerana pelbagai kesalahan imigresen,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 19 warga Myanmar termasuk tiga wanita, 15 lelaki Bangladesh dan 13 lelaki bersama dua wanita warga Indonesia.
Katanya pemeriksaan di dua pusat refleksologi di Jalan Raja Udan dan Taman Bagan Ajam, Butterworth pula menyaksikan empat warga China termasuk dua wanita serta dua wanita Thailand yang bekerja sebagai tukang urut di situ ditahan.
“Dalam operasi itu ada pekerja asing berkenaan cuba melarikan diri melalui laluan khas sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa JIPP bagaimanapun gagal kerana kami berjaya mengesan tempat mereka bersembunyi,” katanya.
Jurucakap itu berkata pihaknya turut turut mengambil keterangan 17 pelanggan di dua pusat refleksologi berkenaan bagi membantu siasatan.
Katanya semua warga asing berusia antara 20 dan 50 tahun itu ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri, tiada permit kerja, tinggal lebih masa dan menyalahguna pas lawatan sosial.
Beliau berkata tiga lelaki yang merupakan majikan warga asing berkenaan turut diarah hadir ke pejabat JIPP Seberang Jaya bagi membantu siasatan. – BERNAMA

