KUCHING – Orang ramai dan petugas di sebuah stesen minyak di pusat bandar ini gempar apabila sebuah lori dikatakan hilang kawalan lalu merempuh beberapa buah kenderaan semalam.
Dalam kejadian di stesen Petronas di Jalan Expressway Kuching – Samarahan, kejadian berlaku sekitar jam 7.30 malam yang mana turut menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang mengalami kecederaan ringan.
Menerusi rakaman litar tertutup (CCTV), pemandu lori terbabit pada awalnya dilihat sedang mengisi minyak, namun secara tiba-tiba kenderaan itu bergerak ke arah kiri lalu merempuh belakang dua kereta.




Seorang lelaki yang berdiri berdekatan sebuah kereta dan seorang lagi di sebelah motosikal juga turut dihentam lori berkenaan, membuatkan mangsa yang berbaju kuning tercampak akibat impak kemalangan tersebut.
Bagaimanapun, punca kemalangan dan anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan. – MYNEWSHUB.CC

