MELAKA – Pihak sekolah di negeri ini perlu menyemak semula pelan risiko kemalangan di sekolah masing-masing bagi memastikan tidak berlaku insiden yang tidak diingini dalam kalangan murid, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata pengurusan secara sistematik perlu dilaksanakan dalam usaha memberikan keselesaan selain menyediakan ruang sekolah yang kondusif kepada murid.
“Pihak sekolah terutama pengetua, guru besar dan guru penolong kanan perlu mengenal pasti kawasan sekolah yang berisiko dan boleh mengundang kecelakaan kepada murid.
“Kemudian, mereka juga perlu mengkoordinasikan pelan tersebut bersama Jabatan Pendidikan negeri supaya sekolah yang mempunyai kawasan berisiko diberi keutamaan untuk ditangani segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, di sini hari ini bersempena hari pertama sesi persekolahan 2017. Turut serta isteri Idris, Datin Seri Fadilah Abdullah dan Pengarah Pendidikan Melaka Abu Bakar Sahari.
Idris berkata, ini sekaligus mengurangkan rasa bimbang ibu bapa terhadap anak-anak mereka yang banyak menghabiskan waktu seharian di sekolah.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu kejadian seorang kanak-kanak perempuan tujuh tahun mati lemas selepas terjatuh dalam lubang kumbahan najis di Sekolah Rendah Agama Jaim Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai, Jasin, pada Februari tahun lepas, berulang. – BERNAMA

