JIKA sambutan tahun baru di kebanyakan negara meriah dengan percikan bunga api di angkasa, lain pula yang berlaku di bandaraya Los Angeles, Amerika Syarikat apabila papan tanda gergasi Hollywood menerima ‘wajah baru’.
Penduduk bandar itu terkejut setelah mendapati mercu tanda ikonik itu bertukar menjadi ‘Hollyweed’, semalam.
Jurucakap Jabatan Polis Los Angeles, Sarjan Robert Payne berkata, kamera pengawasan di bandar itu merakam individu berpakaian hitam pada 3 pagi Ahad waktu tempatan (7 malam tadi waktu Malaysia) yang dipercayai dalang perbuatan tersebut.
Difahamkan, bahan seperti kain tarpal diletakkan pada kedua-dua huruf ‘O’ supaya kelihatan seperti huruf ‘E’.

Setakat ini, identiti suspek belum dikenal pasti namun jika ditangkap, suspek bakal didakwa atas tuduhan menceroboh, katanya.
Menurut Latimes, kejadian vandalisme itu dipercayai berpunca akibat penggubalan undang-undang mengenai penjualan marijuana yang dipinda pada November lalu, di mana membolehkan ganja digunakan secara rekreasi di California, biarpun dadah itu masih haram di bawah undang-undang persekutuan Amerika Syarikat (AS).
Kejadian vandalisme itu merupakan kali kedua selepas kali pertama berlaku pada 1976, iaitu kira-kira 41 tahun lalu melibatkan seorang pelajar jurusan seni yang menceroboh masuk ke kawasan itu.
Mercu tanda kebanggaan Hollywood itu dibina pada tahun 1923 dengan nama asalnya ‘Hollywoodland’ sebagai salah satu cara untuk mempromosikan kawasan perumahan yang baru sahaja dibina di situ pada waktu tersebut.
Ianya kemudiannya ditukar menjadi Hollywood sehingga hari ini. – MYNEWSHUB.CC

