KUALA LUMPUR – Seorang penganggur bakal berdepan hukuman penjara selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berikutan memiliki sebilah pisau lipat di tempat awam tanpa kebenaran sah pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tertuduh Luqman Aiman Dicay Sophian, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar.
Dia didakwa memiliki sebilah pisau lipat berukuran 16cm tanpa kebenaran pihak berkuasa di Jalan Ampang, di sini, kira-kira pukul 10 malam, semalam, mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Feb untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

