GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) membayar ganti rugi RM300,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana memfitnah.
Hakim Datuk Rosilah Yop membuat keputusan itu selepas membenarkan saman Lim terhadap NSTP berkaitan artikel yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian berhubung penyelesaian kes saman fitnah Lim terhadap Ketua Umno Bagan Datuk Dr Shaik Hussein.
Mahkamah turut memerintahkan NSTP membayar kos sebanyak RM35,000 dan faedah atas penghakiman sebanyak lima peratus kepada Lim.
Pada Mac 2016, Lim memfailkan saman terhadap NSTP, mendakwa penerbit Berita Harian itu mencetak dan menerbitkan satu artikel berhubung prosiding mahkamah yang berlangsung sehari sebelumnya, dengan tajuk ‘Guan Eng tarik balik saman terhadap bekas Ketua Pemuda UMNO negeri’ pada 20 Ogos, 2015.
Dalam kenyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan mempunyai tanggungjawab perundangan, sosial dan moral untuk berlaku bijak dan berhemah dalam melaksanakan kewartawanan yang bertanggungjawab.
Lim menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, kos serta relif lain yang dikira wajar oleh mahkamah.
Dalam penghakimannya, Rosilah berkata artikel yang diterbitkan Berita Harian itu mengandungi unsur fitnah terhadap plaintif.
“Plaintif berjaya atas imbangan keberangkalian terhadap defendan,” katanya.
Beliau berkata ralat yang dikeluarkan oleh NSTP selepas artikel itu diterbitkan turut tidak memuaskan hati plaintif.
Peguam Simon Murali mewakili Lim manakala NSTP diwakili peguam Leong Wai Hong.
Sementara itu, Leong ketika ditemui pemberita selepas prosiding tersebut, berkata beliau sedang menunggu arahan seterusnya sama ada mahu membuat rayuan ataupun tidak. – BERNAMA

